Friday 23 October 2015

Ciri-ciri usahawan berjaya

1.0 Biografi Tokoh Usahawan Berjaya
                  
Bagi memilih seorang tokoh usahawan yang berjaya berdasarkan contoh-contoh tokoh yang telah dipelajari, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary merupakan insan yang pengkaji pilih atas dasar kejayaan beliau dalam menjadi antara salah seorang usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia.  Nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, sangat dikenali serta disegani dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu kerana beliau merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang memiliki kekayaan serta mencintai hal-hal kebajikan.  Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini telah dilahirkan pada tahun 1951.  Beliau yang merupakan anak ke tiga daripada tujuh orang adik-beradik, sebenarnya berasal dari keluarga yang serba kekurangan.  Kepayahan yang dialami oleh beliau menyebabkan beliau berhasrat untuk mengubah corak kehidupan keluarganya dengan menceburi bidang perniagaan (Ashadi Zain, 2005).
  
Pada peringkat awal pendidikan, beliau mula bersekolah di Alor Setar dan kemudian pada usianya mencecah 9 tahun, beliau telah mendapat pendidikan di Johor Baru setelah dihantar ke sana untuk menetap bersama pak cik, iaitu Syed Omar sehingga beliau memasuki tingkatan dua.  Setelah itu, beliau kembali ke Alor Setar lalu menyambung pengajian sehingga tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s (Rosli Mahmood et al., 2010).  Ketidakmampuan dalam kehidupan beliau, menyebabkan hasrat beliau untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi terpaksa dilupakan. 
           
      Menjelang tahun 1970-an, perniagaan haiwan ternakan milik bapanya telah mengalami kemerosotan akibat wabak kaki dan mulut yang telah merebak ke seluruh kawasan Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Keadaan ini menyebabkan semua haiwan ternakan mati akibat wabak tersebut.  Sejak daripada itu, Tan Sri Syed Mokhtar telah mengambil alih perniagaan bapanya dan beliau mengambil keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan, tetapi sebaliknya menjual daging sejuk beku secara kecil-kecilan (Rosli Mahmood et al., 2010). Pada saat inilah, beliau mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sebagai seorang usahawan secara kecil-kecilan kepada besar-besaran seperti pada masa kini.
          
      Antara lima ciri yang patut dicontohi oleh usahawan, yang terdapat pada dalam diri Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary ini adalah berani untuk mengambil risiko, jaringan usahawan, proaktif, kegagalan atas pilihan sendiri dan memiliki visi yang tersendiri.

1.1 Berani untuk mengambil risiko

Risiko merujuk kepada keadaan ketidakpastian dalam membuat sesuatu keputusan dan kesannya ditanggung oleh pembuat keputusan tersebut. Rosli Mahmood et al., (2010) menyatakan bahawa secara teorinya, semakin tinggi sesuatu risiko maka semakin tinggi pulangan yang akan diterima. Beliau seorang yang berani untuk memulakan langkah dalam perniagaan dengan hanya berbekalkan komoditi beras dan kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain iaitu gula melalui BukhariSdnBhd walaupun tidak memiliki pengetahuan yang banyak mengenainya. Kemudiannya, beliau meneruskan lagi dengan menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. bagi mendapatkan kontrak pembekalan beras, teh, minyak sapi, tepung susu dan coklat daripada kerajaan. Sedikit-sebanyak melalui usaha beliau yang berani dalam mengambil risiko untuk menceburi bidang perniagaan telah membuahkan hasil sehinggakan beliau dapat mempelbagaikan jenis jualan perniagaannya tanpa hanya perlu bergantung kepada suatu hasil perniagaan sahaja (Ashadi Zain, 2005).

1.2 Jaringan usahawan

Menurut Mohd Salleh Din et al. (2005), jaringan usahawan membawa erti kepada segala perhubungan yang berlaku dan dikekalkan oleh seseorang usahawan itu dengan masyarakat disekelilingnya bagi tujuan mencapai faedah secara bersama. Pada tahun 1979 setelah mendapat kontrak pembekalan daripada kerajaan, beliau telah menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat usaha sama dengan New Zealand Milk Products dan memasarkan produk di bawah jenama Anchor dan Fernleaf. Dalam ciri mewujudkan jaringan usahawan ini juga, dapat dilihat apabila Tan Sri Syed Mokhtar mula melaksanakan sistem barter dengan menukarkan hasil koko keluarannya dengan teh dari China. Tujuan beliau mewujudkan rangkaian perniagaan ini adalah untuk meluaskan pasaran produknya di serata dunia (Rosli Mahmood et al., 2010).

1.3 Proaktif

Proaktif secara umumnya bermaksud mengambil tindakan sebelum masa bertindak tiba (Sudin Haron, 1990). Malah, ciri ini juga melibatkan sikap positif seseorang individu mahupun institusi dalam merangka atau melakukan sesuatu tindakan, yang  akan difikirkan secara kritikal terlebih awal lagi.  Hal ini untuk mengelakkan daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan yang berkenaan. Tindakan itu tidak akan dilakukan oleh usahawan, hanya setelah sesuatu hal itu berlaku. Ciri ini membuktikan bahawa Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari bijak mengambil pendekatan untuk menjayakan projek perniagaan yang telah dirancang olehnya.  Sebagai contohnya, beliau menceburi bidang pembuatan pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan iaitu sebanyak 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam.  Hal tersebut telah membuat beliau berjaya mencipta nama dalam bidang pembuatan pakaian.  Akhirnya beliau telah menubuhkan Amtek Division bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garment Uniforms untuk pakaian (Rosli Mahmood et al., 2010).  Kebijaksanaan yang dimiliki olehnya dalam mengambil peluang yang diberikan, menyebabkan beliau juga telah berjaya mengeluarkan kasut dan pakaian tentera berjenama Louis dan Lee Coopers.



1.4 Kegagalan atas pilihan          

Setiap individu yang mencapai kejayaan tidak semestinya diperolehi tanpa kegagalan. Apabila usaha yang selama ini gagal, ia bergantung kepada pilihan individu itu untuk terus membiarkan kegagalan menjadi penyebab kesukarannya untuk mencapai kejayaan atau sebagai pemangkin seseorang itu untuk bangkit dari kegagalan yang lepas dan seterusnya menjadi pendorong keberhasilan setiap perkara yang diusahakan (Drucker, 1985). Ciri ini membuktikan dalam kejayaan beliau juga, beliau pernah mengalami kegagalan sebelum mencapai kejayaan pada masa sekarang.  Antara contoh kegagalan dialami oleh beliau adalah apabila beliau menubuhkan syarikat perkapalan iaitu Bukhari Shipping yang berperanan sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE.  Sebuah kapal buatan Jerman telah dibeli oleh beliau pada harga US1 juta dolar, untuk mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Namun, kerugian yang telah dialami olehnya  menyebabkan beliau terpaksa menjual kapal tersebut pada harga USD600,000 dolar sahaja. Keadaan ini menyebabkan beliau dilihat sebagai melakukan kesilapan yang besar kerana memilih untuk menceburi bidang perkapalan ini sehinggakan membawa jumlah kerugian yang besar (Ashadi Zain, 2005). Walau bagaimanapun, kegagalan yang dihadapi oleh beliau, telah diambil sebagai sebuah pengajaran dan iktibar yang positif sehinggakan dapat memajukan perniagaannya dalam pelbagai bidang yang mendatangkan keuntungan yang lumayan. 


1.5 Seorang yang mempunyai visi

Secara ringkasnya, visi merupakan satu matlamat dan pandangan jauh yang ingin dicapai pada masa-masa tertentu (Mohd Salleh Din et al., 2005). Apabila sebut sahaja nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, sudah tentu nama beliau akan disusuli dengan gelaran “Jutawan Dermawan”. Beliau bukan sahaja seorang yang berpandangan jauh dalam bidang perniagaan malah beliau seorang usahawan yang amat cintakan kebajikan. Hal ini demikian kerana, beliau yakin dan percaya bahawa rezeki yang datang daripada Allah ini bukan untuk beliau sahaja malah untuk orang ramai juga. Ini merupakan salah satu pegangan atau visi hidup beliau. Selain itu, beliau juga percaya bahawa perkara baik yang kita lakukan di atas bumi ini akan kekal dan dibawa ke akhirat.  Oleh itu, beliau telah menubuhkan Yayasan al-Bukhary pada Mac 1996 bagi membantu golongan miskin dan menyokong perkembangan seni dan budaya dalam kalangan masyarakat Islam (Ashadi Zain, 2005).
          
          Secara ringkasnya, dengan adanya gabungan kelima-lima ciri usahawan yang terdapat pada dalam diri Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari ini, maka telah dapat dibuktikan bahawa beliau merupakan seorang usahawan yang wajar dicontohi oleh masyarakat. Oleh itu, usaha ke arah menjadi yang lebih baik haruslah diteruskan serta dipraktikkan kerana tiada jalan ringkas dan mudah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.  Malah, walaupun seseorang itu berasal daripada keluarga yang miskin, itu bukanlah alasan yang dapat menghalang seseorang itu daripada untuk berjaya di dunia dan akhirat seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.













No comments:

Post a Comment